Jom Jadi Geng

26 April 2011

Senaman Rutin Mel B

Kekal kesihatan, bentuk tubuh menawan

Jika anda menyedari kepentingan senaman, pergerakan yang mengeluarkan peluh itu jika dilakukan selama 30 minit saja setiap hari, sudah memadai bagi menjaga kesihatan badan. Tapi kenyataannya, ramai tidak dapat melakukannya disertai dengan pelbagai alasan.

Ada yang mengatakan masa menjadi penghalang dan ada pula yang memberi alasan tiada akses ke gimnasium walaupun untuk melakukan senaman anda tidak semestinya perlu hadir ke gimnasium. Bijak memahami kehendak badan mungkin menjadi pemangkin terbaik kepada anda untuk mendapatkan badan sihat, cergas, bertenaga untuk menempuh kegiatan sepanjang hari selain menyelesaikan urusan harian.

Bagi bekas anggota kumpulan terkenal Spice Girls, Melanie Brown atau lebih dikenali sebagai Mel B, beliau turut mengalami situasi sama apabila bercakap mengenai kesungguhan untuk turun berlatih ke gimnasium mahu pun melakukan senaman.

“Saya juga kadang kala berasa tidak ada semangat untuk mengunjungi gimnasium untuk bersenam. Tetapi, sesuatu harus dilakukan dan tidak akan membiarkan rasa tidak berfaedah itu menguasai diri.

“Jadi, saya memikirkan cara terbaik menambahkan semangat dan mendorong diri untuk melakukan senaman ialah mengajak rakan yang sama-sama berminat melakukannya. Apabila ada rakan sealiran, anda tidak akan berasa bosan,” katanya ketika ditemui sempena Minggu Kecergasan Antarabangsa (IFW) di ibu kota, baru-baru ini.

Mel B yang juga ibu kepada tiga anak itu mengakui kesibukan sebagai suri rumah dan tugas, banyak mempengaruhi rutin harian menyebabkan beliau tidak begitu mengambil berat mengenai kesihatan badan.
Begitupun, apabila menjadi ikon kepada organisasi yang mementingkan dan berasaskan kesihatan, beliau secara tidak langsung sedar mengenai kepentingan senaman yang ternyata baik untuk kesejahteraan badan.

“Kadang kala tugas harian sebagai ibu, temu janji dengan pengurus dan perbincangan untuk rakaman album menyebabkan saya mempunyai masa yang sangat terhad untuk bersenam di gimnasium.

“Begitupun, saya akan tetap mencari masa atau memperuntukkan masa walaupun sedikit untuk menghadirkan diri ke gimnasium kerana saya tahu saya mendapat kebaikan daripada senaman yang dilakukan,” katanya.

Tidak mudah menjadi individu seperti Mel B kerana selain sibuk dengan rutin keibubapaan, beliau juga adalah individu yang gemar menjamah makanan, lebih-lebih lagi apabila suaminya sendiri gemar memasak dan kerap menyediakan hidangan enak.

“Lazimnya apabila beliau memasak di rumah, saya akan menjamah sedikit makanan yang disediakan dan mengekalkan bersenam untuk mengekalkan bentuk tubuh diidamkan.

“Sokongan moral daripada pasangan juga sangat penting selain pengaruh rakan sekeliling yang sangat membantu, ia membuat saya berasa lebih teruja,” katanya.

Jadi, apabila pusat kecergasan Fitness First mempelawa beliau menjadi duta untuk organisasi berkenaan, Mel B merasakan itu adalah peluang terbaik baginya untuk menguruskan kesihatan badan dengan cara yang betul.

Beliau tidak berfikir lama untuk menerima tawaran itu dan selepas melakukan senaman di pusat kecergasan berkenaan, beliau tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya berasa gembira dengan apa yang dilakukan, begitu juga hasilnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fitness First Asia, Simon Flint, berkata senaman adalah satu gaya hidup yang wajar dijadikan rutin harian oleh semua individu.

“Senaman menyihatkan badan, itu tidak dapat disangkalkan. Semua orang mengetahui kebaikan daripada senaman. Jadi anda boleh kunjungi mana-mana pusat kecergasan Fitness First berdekatan untuk menjadi ahli.

“Mel B, pemilihannya amat sesuai untuk menggambarkan fungsi Fitness First sebagai sebuah pusat kecergasan yang boleh dikunjungi oleh semua peringkat usia. Dia aktif, dikenali ramai, ibu, usahawan dan juga artis,” katanya.

Dipetik dari : www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment