Jom Jadi Geng

22 January 2011

Kesibukan Suami Jadikan Datin Imran Pandai Berdiri

Personaliti kali ini cukup sporting orangnya, sejak awal berkenalan dalam satu majlis sehinggalah penulis berkunjung ke rumahnya, beliau cukup mesra dan periang.

Sedikit sebanyak hilang rasa gerun di hati, memandangkan suaminya bukanlah calang-calang orang. Mungkin kerana jawatannya dalam bidang kepolisan menyebabkan Datuk Khalid Abu Bakar yang kini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KNDKA) nampak tegas dan garang orangnya.

Berbeza sekali dengan personaliti isterinya yang cukup periang dan mudah mesra, biarpun pertama kali bersua muka. Tidak seperti isteri-isteri kenamaan lain yang gemar tampil anggun sentiasa, wanita ini mengakui cukup selesa andai tubuhnya tersarung jeans dan kemeja.

Jelas anak kelahiran negeri Jelapang Padi ini, sejak dahulu lagi dia memang ‘low profile’ dan seorang yang ‘simple’. Malah, empunya diri mengakui hanya dikenali sebagai isteri Datuk Khalid, apabila mereka menghadiri sesuatu majlis bersama. Begitulah sikap Datin Imran Ibrahim, 55 yang lebih suka orang mengenali suaminya dan bukan dirinya.

“Apabila suami bertukar ke Bukit Aman, perasaan gembira dan bangga sebagai isteri melihat suami naik pangkat memang ada. Cuma dalam masa yang sama, saya sedar ini akan mengurangkan lagi masa suami bersama kami anak-beranak. Lagipun, saya bukan jenis yang selalu ikut ke mana suami pergi, hanya majlis tertentu sahaja yang saya hadiri. 

isebabkan itu, saya kurang di kenali, hanya bila berjalan bersama, baru orang tahu saya ini isteri kepada Datuk Khalid. Tetapi sebagai isteri, saya sedar tugas dan tanggungjawab suami terhadap negara. Lagipun, sejak awal suami sudah terangkan kerjayanya yang sentiasa sibuk. Sebab itu saya tidak kisah.

“Lagipun, saya datang dari keluarga besar dan susah, sudah biasa hidup berdikari. Jadi, dalam apa jua hal membabitkan keluarga, segalanya terletak di bahu saya. Sebagai isteri saya sudah faham selok-belok kerja suami yang sibuk itu. Dalam satu minggu kadang-kadang, hanya 3 hari sahaja suami berada di rumah. Jadi semua hal saya lakukan tanpa bantuan dia. Memang waktu itu, perasaan tertekan dan letih saya alami tetapi mujurlah saya bekerja. Bila bersama kawan-kawan di pejabat, hilang seketika segala stress. Namun, selepas suami dinaikkan pangkat dan bertukar ke Johor, saya mengambil keputusan berhenti kerja dan memberi tumpuan penuh pada keluarga,” ujar Datin Imran yang kini dilantik sebagai Pengerusi Perkep KDNKA selain turut aktif sebagai Ketua Biro Rumah Tangga bagi Persatuan Perkep Malaysia.

Suka Melancong Sendiri

Ibu kepada Darwina, 29; Juwiza, 26; Khairul Amri, 22 dan Khairul Amir, 17 ini bukan seorang yang suka duduk berdiam kaki. Baginya umur bukan penghalang untuk melakukan sesuatu aktiviti yang diminati. Sejak awal 20-an lagi, dia sudah biasa berjoging dan melakukan senaman ringan untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Tidak hairanlah jika melihat wajahnya tidak dimamah usia kerana kerajinannya bersenam selain mengambil makanan tambahan sebagai pelengkap.

Ketika ditanya perasaan bergelar isteri kepada pegawai polis yang sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko, Datin Imran hanya ketawa kecil. Namun, bibirnya tidak henti mengucapkan syukur kerana sepanjang hidup sebagai isteri pegawai polis, belum pernah dia mengalami situasi yang buruk.

“Alhamdulillah, setakat ini tiada sebarang ancaman mahupun ugutan yang saya terima, sebaliknya sejak awal berkahwin sehinggalah anak-anak sudah besar, belum pernah saya ‘diganggu’ mana-mana pihak, sedangkan setiap pagi saya akan berjoging di sekitar kawasan perumahan. Malah, saya sudah kenal dengan penduduk di sini dan menjadi kawan mereka. Saya juga mudah berkawan dan mudah di dampingi. Selain itu saya juga suka berkebun dan melancong.

‘Kalau saya mahu melancong ke mana-mana, saya lebih suka pergi seorang diri tanpa ditemani suami mahupun anak-anak. Alhamdulillah tiada sebarang masalah dan dari situ saya menambah kenalan baru. Walaupun terpaksa berkongsi bilik dengan orang yang tidak dikenali, itu bukan satu masalah buat saya. Mungkin kerana saya sudah biasa hidup di kalangan adik-beradik yang ramai. Tetapi, untuk aktiviti kekeluargaan, kami biasanya akan melancong bersama, cuma harus merancang lebih awal. Saya dan suami biasanya lebih suka mengembara dengan membawa beg dan juga peta. Biasanya kalau begini, anak-anak jarang mahu ikut kerana mereka cepat bosan. 

“Selain dapat melihat cara hidup dan benda baru, kami juga berpeluang untuk merasai pengalaman mengembara tanpa mengikut trip yang dianjurkan mana-mana agensi pelancongan. Kalau diikutkan saya lebih banyak berjalan berbanding suami, kerana dia sentiasa sibuk dan tiada masa. Tetapi sesekali bercuti, kami akan habiskan masa sekeluarga bersama untuk keluar makan sambil disertai oleh saudara mara terdekat,” ulas Datin Imran yang mengakui tidak terbabit dalam banyak persatuan kerana bimbang tidak mampu memberi komitmen yang baik selain mahu memberi tumpuan dalam menguruskan anak-anak dan suami.

Suami Tegas Tapi Penyayang

Biarpun sentiasa sibuk dengan kerja, namun dia dan Datuk Khalid akan mencuri masa untuk pulang berehat di rumah mereka yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan. Seboleh mungkin, dia akan pulang ke sana sama ada bersama anak atau berdua sahaja. Tambah Datin Imran lagi, setiap kali pulang ke Mantin, dia tidak akan duduk diam, sebaliknya ada sahaja kerja yang bakal dibereskan.

“Suami saya gemar pulang ke Mantin kerana mahu berehat dan menenangkan fi kiran, tetapi saya bukan jenis yang suka duduk diam. Walaupun suami tidak meminta saya membuat kerja, tetapi saya sudah terbiasa. Mungkin ajaran ibu sejak kecil untuk menguruskan rumah tangga terbawa-bawa hingga berkahwin dan mendapat anak. Selain itu, saya sendiri minat bercucuk tanam dan suami pula hanya pandai beri arahan itu ini,” seloroh Datin Imran mengenai sikap suami yang penyayang, namun amat tegas dan jarang berkompromi dalam mendidik anak-anak.

“Kalau waktu anak-anak kecil dahulu, suami saya yang suka melayan. Tetapi apabila mereka besar, cara mendidik suami sudah berbeza kerana lebih tegas. Jadi, anak-anak akan menjadikan saya sebagai tempat untuk mereka meminta sesuatu dari ayah mereka. Mungkin sikap sebagai pegawai polis terbawa-bawa sehingga ke rumah. Mungkin kerana suami tidak mahu memanjakan anak-anak dan apa jua yang mereka mahu harus dilakukan dengan titik peluh sendiri. Barulah mereka belajar menghargai sesuatu benda itu. 

Berbeza dengan saya yang lebih bersikap terbuka, namun agak teliti dan cerewet terutama bab-bab kebersihan rumah. Apabila pulang dan melihat rumah kemas dan bersih, terasa lapang dada. Sebab itu, suami dan anak-anak sudah faham perangai saya yang tidak gemar rumah bersepah. Saya juga gemar menghias rumah termasuklah menukar atur letak perabot. Sehinggakan pernah di tegur suami kerana gagal mencari barangannya yang sudah berubah dari kedudukan asal,” ulas Datin Imran sambil tertawa kecil.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment