Jom Jadi Geng

16 January 2011

35 Wanita Dapat Geran Bernilai RM175,000

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperuntukkan geran berjumlah RM175,000 di bawah Projek Teman 1Azam bagi membantu 35 wanita di negeri ini meningkatkan sosioekonomi mereka.
 
Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita negeri, Asiah Puteh berkata, di bawah geran tersebut, setiap penerima akan mendapat RM5,000 bagi membolehkan mereka terlibat dalam sektor perniagaan atau perusahaan.

Beliau berkata, bantuan geran itu juga membolehkan penerima mengembangkan lagi bidang perniagaan yang mereka ceburinya.

"Ada di kalangan penerima geran yang mengusahakan taman didikan dan asuhan kanak-kanak, perusahaan jahitan dan membuat kuih-muih. Bantuan geran itu akan membolehkan mereka memperluaskan lagi perniagaan yang diceburi.

"Ini kerana, matlamat bantuan geran tersebut adakan untuk membolehkan wanita terlibat memperoleh mendapatkan lumayan sekali gus menjadi usahawanita berjaya pada masa hadapan," katanya pada majlis menandatangani dokumen penerimaan geran tersebut di pejabatnya di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya, bagaimanapun akan memantau penglibatan wanita terlibat dalam aktiviti yang dijalankan dalam tempoh tiga bulan.

"Pemantauan tersebut bertujuan memastikan penerima geran tidak menyalahgunakan wang bantuan untuk tujuan lain," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua penerima menyimpan resit pembelian barang sebagai bukti.

Sementara itu, seorang siswazah menganggur, Nurul Effadah Shamsudin, 25, berkata, pemberian geran itu membolehkannya mengusaha dan mengembangkan sekolah jahitan yang diuruskan oleh ibunya, Niahani Mohamad.

"Dengan bantuan geran ini, dapatlah kami membeli mesih jahit dan menambah bilangan pekerja bagi membesarkan sekolah jahitan ini, " katanya.

Nurul Effadah yang memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Pengurusan Zon Pantai Bersepadu katanya, dia mahu menggunakan geran tersebut sebaik mungkin untuk memperluaskan perniagaan ibunya.

Ibunya, Niahani Mohamad, 46, berkata, dia memulakan perniagaan hampir 20 tahun lalu dengan menggunakan modal sendiri.

"Bantuan geran ini membolehkan saya besarkan perniagaan dengan bantuan anak saya untuk menambah pendapatan keluarga," katanya.

Dipetik dari : www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment